13 Mac 2026 - Program Budaya Al-Quran diteruskan lagi bagi siri kali ini dengan penglibatan aktif pelajar daripada Kursus Teknologi Polimer (Plastik).
Program ini membudayakan amalan membaca Al-Quran serta meningkatkan kefahaman terhadap mesej Al-Quran dalam kalangan pelajar di samping membina hubungan yang lebih dekat dengan kitab suci umat Islam.
Program dimulakan dengan sesi bacaan Al-Quran secara bersama, di mana para pelajar berpeluang memperbaiki bacaan serta menghayati makna ayat-ayat suci Al-Quran. Selepas itu, program diteruskan dengan sesi tadabbur ayat, bagi memahami pengajaran yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat 89 hingga 105.
Antara pengajaran utama yang dikongsikan ialah:
1. Kepentingan Memelihara Kesempurnaan Akidah dan Akhlak Dalam konsep "matematik akidah", menolak walau satu sahaja daripada Rukun Iman bermakna terbatalnya keimanan seseorang. Begitu juga dalam aspek akhlak; kita dinasihatkan agar tidak memutuskan silaturahim dengan sahabat handai hanya disebabkan oleh satu kesilapan kecil atau perbezaan pendapat, kerana menafikan segala kebaikan seseorang disebabkan satu kelemahan adalah satu kesilapan dalam tata kelola akhlak.
2. Bahaya Penyakit Hasad Dengki dan Sikap Sombong Ayat-ayat ini mendedahkan sikap Bani Israil yang menolak kebenaran Nabi Muhammad SAW. Walaupun mereka telah mengetahui kebenaran Baginda melalui Kitab Taurat, mereka tetap mengingkarinya semata-mata kerana hasad dengki dan kesombongan apabila mendapati Baginda diutuskan daripada bangsa Arab, bukan daripada bangsa mereka.
3. Ancaman Amalan Sihir dan Perbuatan Mengadu Domba (Batu Api) Ilmu sihir adalah satu dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT dan sering digunakan untuk meruntuhkan institusi kekeluargaan dengan memisahkan suami isteri. Walau bagaimanapun, masyarakat juga perlu berwaspada dengan perbuatan mengadu domba ("batu api"), kerana kejahatan lisan ini mampu memecahbelahkan persaudaraan dan membawa kerosakan dengan lebih pantas berbanding sihir. Segala kesan, sama ada daripada sihir mahupun usaha lain, hanya berlaku dengan izin Allah SWT.
4. Kewajipan Menepati Perjanjian Orang mukmin dilarang meniru sifat buruk golongan yang gemar menabur janji, namun dengan mudah mengkhianati dan mencabuli janji tersebut apabila mereka telah memperoleh kekuasaan atau keupayaan. Perjanjian adalah satu amanah yang dipandang amat berat di sisi Islam.
5. Memelihara Adab dan Pemilihan Tutur Kata Allah SWT mendidik umat Islam agar sentiasa menjaga adab ketika berkomunikasi. Sebagai contoh, Allah melarang para sahabat menggunakan perkataan "Raaina" kerana ia telah dimanipulasi oleh musuh Islam untuk tujuan menghina dan memerli Rasulullah SAW. Perkara ini menuntut kita agar menggunakan perkataan yang jelas dan tidak membuka ruang kepada salah faham atau fitnah.
6. Ketaatan Mutlak Terhadap Perintah Allah SWT Sebagai hamba-Nya, apabila kita menerima seruan dan perintah daripada Allah SWT, kita diwajibkan untuk mendengar, menerima, dan mentaatinya dengan sebulat hati. Elakkan sikap golongan terdahulu yang menjawab "Kami dengar, dan kami menderhaka" apabila diberikan ketetapan agama.
7. Persediaan Menghadapi Kematian dan Memohon Husnul-Khatimah Umur yang panjang, walau mencecah seribu tahun sekalipun, tidak akan mampu menyelamatkan seseorang daripada azab Allah SWT sekiranya mereka terus melakukan kezaliman dan kemaksiatan. Oleh kerana saat kematian itu adalah rahsia Allah, setiap individu Muslim wajib membuat persediaan rapi dan sentiasa berdoa agar kehidupan ini diakhiri dalam keadaan yang diredhai (husnul-khatimah).
Semoga melalui program ini para pelajar dapat mengambil pengajaran daripada kisah-kisah dalam Al-Quran serta menjadikannya panduan dalam kehidupan seharian.
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
