12 Mac 2026 - Alhamdulillah, Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Pelajar 2026 telah berlangsung dengan penuh keberkatan dalam suasana harmoni dan ukhuwah yang erat antara warga ADTEC JTM Kampus Tangkak. Program ini menjadi salah satu pengisian bermakna sepanjang bulan Ramadan dalam usaha menyemarakkan lagi penghayatan ibadah dalam kalangan warga institut. Program ini merupakan anjuran Bahagian Pengurusan Pelajar dan Latihan (BPPL) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Majlis ini telah dihadiri oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Tangkak, En. Ahmad Jefri Bin Sabri, bersama barisan pengurusan tertinggi institut, serta pegawai, kakitangan dan para pelajar yang turut memeriahkan program ini.
Majlis dimulakan pada jam 5.30 petang dengan Majlis Khatam Al-Quran, diikuti dengan alunan qasidah yang menambahkan lagi suasana tenang dan penuh penghayatan terhadap kemuliaan bulan Ramadan.
Majlis seterusnya diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Tangkak, En. Ahmad Jefri Bin Sabri yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan pelbagai pertandingan sepanjang penganjuran program Ihya’ Ramadan. Dalam ucapannya, beliau turut menyeru para pelajar agar menjadikan Ramadan sebagai medan terbaik untuk memperbaiki diri, meningkatkan disiplin, memperbanyakkan amalan ibadah serta membentuk sahsiah yang lebih baik.
Selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata serta hadiah kepada para pemenang pertandingan Ihya’ Ramadan sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penyertaan aktif pelajar sepanjang program berlangsung.
Turut diadakan penyampaian bakul dan sumbangan Ramadan sebanyak 37 bakul ramadan kepada 37 pelajar ADTEC JTM.Kampus Tangkak yang terpilih sebagai tanda keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga institut.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video kreatif johan pertandingan, yang mempamerkan kreativiti dan idea menarik daripada para pelajar dalam menyampaikan mesej positif berkaitan penghayatan Ramadan. Seterusnya, hadirin sekali lagi dihiburkan dengan alunan qasidah sebelum majlis diteruskan dengan bacaan doa Ramadan menjelang waktu berbuka puasa.
Para hadirin kemudiannya bersama-sama menikmati jamuan berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib, diikuti solat Isyak dan Tarawih berjemaah. Majlis berakhir dengan penuh kesyukuran dan kenangan indah sebelum para hadirin bersurai.
Semoga penganjuran program seperti ini dapat terus memperkukuhkan ukhuwah, memupuk nilai murni serta menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan dalam kalangan seluruh warga institut.
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
