15 September 2026 - Alhamdulillah, telah berlangsung Program Keagamaan: Kuliah Maghrib – Baitulmal dan Wang Tidak Patuh Syariah bertempat di Surau Al-Jazari.
Program ini merupakan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Al-Jazari, dan telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Zaki bin Abdul Rahim.
Dalam perkongsian tersebut, penceramah menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Baitulmal Johor, termasuk sumber-sumber pendapatan Baitulmal antaranya zakat, fidyah, harta luqatah serta harta tidak patuh syariah.
Turut dikongsikan beberapa contoh harta tidak patuh syariah, antaranya hasil perjudian, nombor ekor serta pengambilan harta pusaka tanpa pengetahuan atau persetujuan waris.
Penceramah turut menjelaskan bahawa wang yang diperoleh daripada sumber tidak patuh syariah boleh disalurkan kepada Baitulmal untuk diuruskan dengan sewajarnya. Hasil pengurusan tersebut kemudiannya dapat dimanfaatkan bagi menyediakan dan membangunkan kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan kegunaan orang ramai.
Di akhir ceramah, penceramah menyeru agar kita sentiasa mencari dan memastikan makanan serta sumber rezeki yang halal lagi baik. Hal ini kerana kesan daripada memakan atau menggunakan harta yang haram bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, malah boleh membawa keburukan kepada keluarga dan generasi yang akan datang.
Semoga perkongsian yang disampaikan dapat menjadi peringatan dan panduan buat kita semua agar lebih berhati-hati dalam mencari rezeki serta sentiasa memastikan sumber pendapatan kita berada dalam lingkungan yang diredai Allah SWT.
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
