6 Mac 2026 - Program Budaya Al-Quran diteruskan lagi bagi siri kali ini dengan penglibatan aktif pelajar daripada Kursus Teknologi Komputer (Rangkaian).
Program ini membudayakan amalan membaca Al-Quran serta meningkatkan kefahaman terhadap mesej Al-Quran dalam kalangan pelajar di samping membina hubungan yang lebih dekat dengan kitab suci umat Islam.
Program dimulakan dengan sesi bacaan Al-Quran secara bersama, di mana para pelajar berpeluang memperbaiki bacaan serta menghayati makna ayat-ayat suci Al-Quran. Selepas itu, program diteruskan dengan sesi tadabbur ayat, bagi memahami pengajaran yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat 70 hingga 88.
Antara pengajaran utama yang dikongsikan ialah:
Kaum Yahudi telah menyusahkan diri mereka sendiri dengan bertanya pelbagai soalan remeh mengenai ciri-ciri lembu yang diperintahkan Allah untuk disembelih bagi menyelesaikan kes pembunuhan. Peristiwa mayat yang dipukul dengan sebahagian anggota lembu lalu hidup semula menjadi bukti nyata kekuasaan Allah yang mampu menghidupkan orang yang telah mati.
Walaupun telah diperlihatkan dengan pelbagai mukjizat dan tanda kebesaran Allah, hati mereka tetap keras dan degil, malah digambarkan lebih keras daripada batu sehingga sukar menerima hidayah.
Sebahagian ulama Yahudi telah menyelewengkan isi Kitab Taurat demi meraih keuntungan dunia. Mereka juga bersikap angkuh dengan mendakwa bahawa api neraka hanya akan menyentuh mereka untuk beberapa hari sahaja.
Kaum Yahudi telah mengkhianati perjanjian dengan Allah apabila mereka saling berbunuhan dan mengusir saudara seagama mereka sendiri dari kampung halaman. Mereka juga bersikap hipokrit dengan hanya beriman kepada sebahagian kitab dan menolak sebahagian ajaran yang lain.
Sikap sombong terhadap kebenaran menyebabkan mereka mendustakan bahkan membunuh sebahagian nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka. Mereka juga menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW kerana hasad dengki apabila baginda tidak dilantik dari kalangan bangsa mereka.
Semoga melalui program ini para pelajar dapat mengambil pengajaran daripada kisah-kisah dalam Al-Quran serta menjadikannya panduan dalam kehidupan seharian.
“Jom Masuk ADTEC JTM Kampus Tangkak”
“ADTEC Tangkak Bestari Dalam Taman”
"Empowering Skills, Igniting Futures"
“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”
